jump to navigation

KK1: Rukun Iman & Rukun Islam Asas Kejayaan Muslim February 27, 2007

Posted by asmaaputerii in Rukun Iman, Rukun Islam.
trackback

TAKRIF IMAN & ISLAM

TAKRIF IMANIman jika diteliti dari segi bahasa memberikan erti kepercayaan atau tasdiq. Oleh itu, orang yang beriman dikatakan seorang yang percaya. Iman itu merupakan aqidah atau pokok dan di atasnya berdiri syariat Islam.  

Manakala dari segi istilahnya pula boleh dimengertikan melalui sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadits baginda yang menegaskan: 

“Membenarkan dengan hati, diucapkan dengan lidah dan diamalkan dengan jasad (anggota lahir).”
Dari hadith ini bolehlah difahami bahawa iman ialah membenarkan dengan hati secara putus (jazam), akan segala yang dibawa atau didatangkan oleh Rasulullah s.a.w. yang sabit secara nas qat’ie, diketahui kedatangannya itu adalah secara darurat (mudah).  

Maka, ulama hadits & fiqh berpendapat dengan tegas bahawa iman adalah ‘tasdiq dengan hati, iqrar dengan lisan dan beramal dengan segala rukun’. 

Oleh itu tanpa tiga syarat yang disebutkan tadi seseorang itu belum dikatakan mempunyai iman yang sempurna. Ketiadaan satu daripada ketiga-tiga syarat tadi bermakna statusnya daripada nama Islam bertukar dan nama lain akan diberikan kepadanya iaitu samada fasik, munafik atau kafir.     

TAKRIF ISLAM 

a) Islam secara lafziyan mempunyai makna:          Menundukkan wajah (Islam al wajhi)“Siapakah yang terlebih baik agamanya dari orang yang menundukkan mukanya kepada Allah, sedang ia berbuat kebaikan dan mengikut agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah telah mengangkat Ibrahim itu sebagai taulan/kesayangan (-Nya)” (An-Nisaa’ 4:125) 

          Berserah diri (Istislam)“Maka mengapa mereka mencari agama yang lain selain agama Allah, padahal apa yang di langit dan di bumi berserah diri kepada-Nya, (baik) dengan suka maupun terpaksa, dan hanya kepadanya mereka dikembalikan.” (Aali ‘Imraan 3:83) 

          Suci, bersih (As-salaamah)“Kecuali orang yang datang ke hadirat Allah dengan hati yang suci (bersih)” (Asy-Syu‘araa’ 26:89)  

          Selamat, sejahtera (As-salaam)“Apabila telah datang kepada engkau orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami, maka ucapkanlah kepada mereka ‘salaamun alaikum’ (kesejahteraaan ke atas kamu)” (Al-An‘aam 6:54) 

          Perdamaian (As-salmu)“Maka janganlah kamu lemah dan menyeru kepada perdamaian, sedang kamu orang tertinggi (akan menang), dan Allah berserta kamu (menolong-mu) dan Dia tidak akan mengurangkan (pahala) amalanmu.” (Muhammad 47:35) 

 

b) Di dalam al-Quraan Islam disebut sebagai deen.“Sesungguhnya agama (deen) di sisi Allah ialah Islam” (Aali ‘Imraan 3:19)“Barangsiapa menuntut agama selain Islam maka tiadalah diterima daripadanya sedangkan ia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” (Aali ‘Imraan 3:85) 

Abul ‘Ala Maududi di dalam bukunya ‘Prinsip-prinsip Islam’, deen mengandungi erti sistem kehidupan yang menyeluruh termasuk ibadah, kemasyarakatan, politik dan jihad. Islam mencakupi keseluruhan hidup dan Islam secara lengkap menyediakan keperluan manusia untuk mengatur hidup yang mudah difahami yang konsekuensinya bakal mengantar kepada kejayaan muslim. 

Antara perkara asas yang ditegakkan dalam memahami Islam sebagai Deen 

1.       Tunduk (al-khudu’) (24:51)2.       Wahyu Ilahi (53:4, 21:7)3.       Deen para nabi dan Rasul (2:186, 3:84)4.       Ahkam Allah (5:48, 5:50)5.       Sirat al-Mustaqim (6:153)6.       Keselamatan dunia akhirat (Salamatud dunya wal akhirah) (16:97, 2:200, 28:77)

Maka, makna Islam segara integral adalah aqidah, amal soleh dan ketundukan. Islam adalah ad-Deen yang berintikan iman & amal.

DEFINISI AQIDAHPerkataan akidah berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu ‘aqada yang bererti ikatan atau simpulan. Perkataan ini juga digunakan pada sesuatu yang maknawi seperti akad nikah dan akad jual beli. Dari ikatan atau simpulan yang maknawi ini maka lahirlah akidah iaitu ikatan atau simpulan khusus dalam kepercayaan. Sementara dari segi istilah, akidah bermaksud kepercayaan yang terikat erat dan tersimpul kuat dalam jiwa seseorang sehingga tidak mungkin tercerai atau terurai. 

Akidah menurut istilah syara’ pula bermaksud kepercayaan atau keimanan kepada hakikat-hakikat atau nilai-nilai yang mutlak, yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki, yang kudus dan suci seperti yang diwajibkan oleh syara’ iaitu beriman kepada Allah swt, rukun-rukun Iman, rukun-rukun Islam dan perkara-perkara ghaibiyyat.  

PENDIDIKAN AQIDAHPendidikan akidah merupakan asas kepada pembinaan Islam pada diri seseorang. Ia merupakan inti kepada amalan Islam seseorang. Seseorang yang tidak memiliki akidah menyebabkan amalannya tidak mendapat pengiktirafan oleh Allah swt. 

Ayat-ayat yang terawal yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw di Makkah menjurus kepada pembinaan akidah. Dengan asas pendidikan dan penghayatan akidah yang kuat dan jelas maka Nabi Muhammad saw telah berjaya melahirkan sahabat-sahabat yang mempunyai daya tahan yang kental dalam mempertahan dan mengembangkan Islam ke seluruh dunia. Bilal bin Rabah tidak berganjak imannya walaupun diseksa dan ditindih dengan batu besar di tengah
padang pasir yang panas terik. Demikian juga keluarga Amar bin Yasir tetap teguh iman mereka walau berhadapan dengan ancaman maut.
 

Dari sini kita nampak dengan jelas bahawa pendidikan akidah amat penting dalam jiwa setiap insan muslim agar mereka dapat mempertahan iman dan agama Islam lebih-lebih lagi di zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam segenap penjuru terutamanya internet dan teknologi maklumat yang berkembang dengan begitu pesat sekali.  

Matlamat dan Objektif Pendidikan Akidah 

1.      Mengakui keesaan Allah swt Matlamat utama pendidikan akidah Islam ialah mendidik manusia supaya mengakui keesaan dan ketunggalan Allah swt sebagai tuhan yang wajib disembah. Tiada sekutu bagiNya. Ini dijelaskan oleh Allah swt dalam firmanNya yang bermaksud : 

“Katakanlah (wahai Muhammad) Dia ialah Allah Yang Maha Esa. Allah menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa yang setara denganNya” (al-Ikhlas 112:1-4) 

Ayat di atas mendidik manusia supaya mengaku keesaan dan kekuasaan Allah swt. Ayat ini diturunkan di Makkah di awal perkembangan Islam. Oleh kerana akidah merupakan asas kepada kekuatan dan pembinaan Islam sebagai al-Din maka wahyu-wahyu yang terawal yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw menjurus kepada pendidikan Akidah bagi menanam keyakinan yang teguh dalam jiwa manusia tentang keesaan Allah swt. 

2.      Melahirkan manusia yang patuh dan tunduk kepada Allah swt 

Pendidikan akidah juga penting untuk mendidik manusia supaya patuh dan tunduk kepada kebesaran dan keagungan Allah swt.

 3.      Membentuk keperibadian insan 

Sebagaimana acuan dapat membentuk dan mencorakkan air kandungannya maka demikianlah akidah dapat membentuk dan mendidik orang yang mengambilnya menepati dengan hakikat dan tabiat kemanusiaan yang tulen dan asli seperti yang dikehendaki oleh penciptanya. Pendidikan akidah dapat membentuk sifat-sifat nalurinya, akal fikirannya, iradahnya dan perasaannya. 

Ringkasnya pendidikan akidah bermatlamat untuk membentuk nilai akhlak dan keperibadian seseorang insan yang akan mencorakkan suluk amali atau gerak laku amal perbuatan selaras dengan peranan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah swt di muka bumi ini. Menurut Mohd Sulaiman Yasin (1987), Akidah Islam ialah akidah yang bersumberkan ketuhanan (akidah Rabbaniyyah) yang tetap, syumul, menyeluruh dan fitrah. 

Tabiat akidah yang demikian ialah akidah yang kukuh dan teguh. Hanya akidah yang teguh sahaja dapat membentuk manusia yang teguh dan kukuh. Kekukuhan dan keteguhan akidah ialah kerana kekukuhan dan keteguhan ciri-ciri yang menjadi kandungan akidah itu, yang merangkumi segala hakikat iaitu hakikat ketuhanan, hakikat alam semesta dan hakikat kemanusiaan serta nilai-nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan. Kekukuhan akidah inilah yang akhirnya menjadi sumber kekuatan Islam. 

Itulah hakikat kekuatan umat Islam, kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya yang menjadi asas kepada kekuatan jasmaninya.  Di dalam sejarah kegemilangan umat Islam yang silam kita mendapati bahawa umat Islam di masa itu telah dibentuk dan dididik oleh akidah yang akhirnya melahirkan kekuatan yang sungguh kental dan luar biasa. Kita lihat sahaja kepada Bilal, bahawa akidah telah memberikan kekuatan kepadanya. Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin Affan sanggup membelanjakan hartanya kerana mempertahankan Islam sehingga tiada apa lagi yang dimiliki melainkan Allah swt dan Rasul. Ali bin Abi Talib sanggup mempertaruhkan nyawanya kerana Rasulullah saw dan banyak lagi contoh-contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah saw hasil dari pendidikan akidah yang mantap.  

KONSEP & PRINSIP (RUKUN IMAN & RUKUN ISLAM)

RUKUN ISLAM

Allah maha mengetahui dengan hakikat manusia dan maha mengetahui pula dengan jalan yang ditempuhnya. Oleh itu, setelah diciptakan manusia, diciptakan pula jalan hidupnya iaitu jalan Iman dan Islam demi kesejahteraan dan kebahagiannya.
Bagi menjaminkan manusia ini benar-benar menjadi khalifah di bumi, diwahyukan kepada para Rasul Islam yang akan menjadi cara hidup yang lengkap, untuk diikuti oleh manusia.

Islam itu pula ditetapkan rukun-rukunnya untuk mudah manusia memahami apakah Islam itu dan apa pula tuntutan-tuntutannya.
 


Lima rukun Islam mempunyai konsep dan falsafah yang amat luas. Selagi mampu menganalisa rukun Islam itu maka selama itu rukun-rukun itu mampu memberikan erti, konsep dan falsafah yang sesuai diketengahkan sebagai panduan. 

Rukun Islam & KonsepnyaPerkataan ‘rukun’ jika diteliti dari sudut pengertiannya menerusi kamus-kamus Arab, maka ianya bererti: 

a.       Sesuatu yang menguatkan b.       Yang mempertahankannya atau memuliakannya c.       Bahagian yang penting dan terkuat.
Dari pengertian di atas dapat dikaitkan dengan rukun Islam itu sendiri iaitu ianya bererti; Islam itu ada berbagai-bagai cabang dan bahagiannya.
Ada ibadat, ada mu’amalat, ada munakahat, ada jinayat dan sebagainya. Dalam ibadat itu pula ada bermacam-macam. Syahadah, salat, zakat, puasa, haji, amar makruf, nahi munkar, jihad dan sebagainya.
 

Bahagian yang boleh menguatkan, mempertahankan, memuliakan Islam itu adalah yang terkandung dalam rukun Islam. Bahagian inilah yang penting dan terkuat. Rukun Islam dalam konteks ini merupakan suatu konsep tersendiri yang amat luas pengertiannya. la adalah nilai Islam itu sendiri pada diri seseorang. Rasulullah s.a.w. pernah menyebutkannya sebagai tiang agama. Dalam konteks solat sebagai contoh, Rasulullah s.a. w .bersabda yang bermaksud:“Sembahyang itu tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya, maka sesungguhnnya ia mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya ia telah meruntuhkan agama.”
Hadits di atas jelas menyebut sembahyang (solat) tiang agama, yang bererti ianya bahagian penting yang berkait rapat dengan jatuh bangunnya Islam pada seseorang itu. Jika ditinjau dari sudut yang lebih meluas dari konsep yang terkandung dalam rukun Islam, maka dapat diperincikan seperti berikut:-
 

1.       Konsep Islam sebagai bangunan2.       Konsep rukun Islam sebagai sebagai skop amalan3.       Islam yang syumul 

1.       Konsep Islam Sebagai Bangunan 

Islam yang mengandungi rukunnya, telah dijelaskan yang rukun itu sebagai tiang. Diperjelaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah haditsnya yang menggambarkan Islam itu sebagai bangunan. Hadits itu bermaksud: 

“Bandingan saya dengan Nabi-Nabi yang sebelum saya adalah seperti seorang yang membina sebuah bangunan. Semua bahagian dari bangunan itu telah siap, melainkan satu bahagian kecil lagi yang belum siap, Semua orang yang melihat bangunan itu memuji bangunan itu cuma ada kekurangannya. Sayalah (sabda Rasulullah) bahagian yang terakhir yang menyempurnakan bangunan itu. Sayalah Rasul terakhir yang diutus untuk melengkap sempurnakan bangunan itu.”

Hadits itu memberi gambaran (antara lainnya) Islam itu sebagai bangunan. Konsep bangunan dalam konteks ini memberikan suatu gambaran yang lebih luas bahawa Islam itu mempunyai asasnya. Tiangnya, bumbungnya, dindingnya dan sebagainya. Asas adalah aqidah. Tiang adalah rukun Islam. Bumbung adalah pemerintahan Islam. Dinding adalah perlaksanaan undang-undangnya.

 2.       Konsep Rukun Islam Sebagai Skop Amalan

Rukun Islam yang bermula dari syahadah dan berakhir dengan hajj, memberikan suatu gambaran tentang skop Islam yang meluas. Di mana Islam itu tidak terhenti di atas pengakuan dan amalan secara individu sahaja tetapi ianya memerlukan gerak kerja dan tindakan yang meliputi sehingga kepada persoalan negara dan ummah.

 

               i.            MengIslamkan Diri 

Konsep syahadah memberi erti bahawa Islam itu perlu dimulakan dengan diri sendiri. Tunduk patuh kepada titah perintah Allah secara penuh ikhlas. Menyerah diri kepada Yang Maha Esa. Redha kepada semua hukum dan balasan yang diterima dari dunia hingga ke akhirat. Penglslaman diri dalam konsep syahadah ini memerlukan ketegasan hati dan kekuatan azam untuk menjadi hamba Allah yang setia. Ketaatan dan kepatuhan hanya kepada Allah yang diutamakan. Ketika Ali bin Abi Talib r.a. melafazkan kalimah syahadah ini dihadapan Rasulullah s.a.w. dengan bersungguh-sungguh, Rasulullah bertanya (menguji) Ali. 

‘Apakah kamu telah bertanya dan berunding dengan bapamu Abu Talib tentang pengIslaman ini?’ Ali bertanya balik kepada Rasulullah s.a.w.: ‘Ya Rasulullah adakah Allah s.w.t. bertanya Abu Talib ketika saya hendak dijadikan.’ ‘Tidak.’ kata Rasulullah. ‘Kalau demikian,’ kata Ali, ‘mengapa saya perlu bertanya bapa saya (Abu Talib) dalam hal mengucap syahadah untuk berbakti kepada Allah yang menjadikan saya?’
Syahadah tidak melibatkan sesiapa, selain dari diri sendiri. Seseorang itu boleh beriman dengan Allah dan boleh bersyahadah seorang diri dan sah Imannya di sisi Allah. Kerana itu dikaitkan konsep yang terkandung dalam syahadah itu dengan konsep mengIslamkan diri sendiri.
 

             ii.            MengIslamkan Keluarga dan Masyarakat 

Setelah seseorang itu bersyahadah yang dikaitkan dengan konsep mengIslamkan diri, seorang muslim itu perlu mendirikan solat (sembahyang). Konsep sembahyang adalah konsep perhubungan dua hala. Dengan Allah dan dengan manusia. Manusia yang perlu diberi perhatian dahulu adalah keluarga dan kemudian masyarakat. Konsep menjaga diri dan keluarga telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. kepada Muhammad s.a.w. sejak dari zaman permulaan Islam dengan firmannya yang bemaksud:
“Dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang terdekat”
“Wahai orang yang beriman jagalah diri kamu dan ahli-ahli (keluarga) kamu dari api neraka.”
Hubungan salat dengan keluarga dan masyarakat dapat dilihat dari tabiat (nature) sembahyang itu sendiri yang memerlukan pertamanya berguru dan mengadakan persediaan awal untuk bersembahyang seperti pakaian dan sebagainya. Lebih-lebih lagi sembahyang itu digalakkan berjema’ah dan sebagainya. Semua itu memerlukan perhubungan dengan keluarga dan masyarakat. 

            iii.            Kepimpinan umat IslamJika dilihat dari solat berjema‘ah, jelas kelihatan konsep kepimpinan yang amat diperlukan oleh umat Islam. Imam dalam solat memerlukan seorang yang mampu memimpin makmum. Mempunyai kelebihan dan keistimewaan. Kelakuan dan tutur katanya tidak ada yang canggong dan diragukan.  Apabila imam mengepalai solat, makmum mesti mengikutinya dalam semua gerak gerinya. Tidak ada yang boleh melawan atau membantah, selagi ia tidak menyalahi aturan dan peraturan Ilahi dalam solat. Sekiranya ia menyalahi hukum, makmum wajib mengingatkannya dan memperbetulkan kesalahannya.
Sekiranya Imam enggan memperbetulkan kesalahannya yang jelas ketara dalam solat, seperti meninggalkan rukun, sama ada secara terlupa atau jahil, maka makmum tidak wajib mematuhi atau mengikutnya lagi. Oleh itu Imam baru perlu dicari ganti. Konsep kepimpinan yang ditunjukkan contohnya dalam solat ini memberikan suatu gambaran bahawa dalam Islam pemimpin hanya seorang sahaja. Pemimpin itu pula bukan bebas melakukan apa sahaja dalam kepimpinannya, malah ia hendaklah patuh kepada hukum-hukum Allah s.w.t.

Kewajipan utama pemimpin adalah membawa pengikutnya (makmumnya) kepada keselamatan dan kesejahteraan yang diliputi oleh rahmat Allah s.w.t. seperti dalam solat. Imam memimpin makmum dari Allahu Akhbar menuju kepada salam yang bererti: kesejahteraan ke atas kamu dan kerahmatan dari Allah.
 

 

           iv.            Persaudaraan dan Pengurangan Kemiskinan

Dari rukun Islam yang mewajibkan zakat, terselit dalamnya konsep persaudaraan dan pengurangan kemiskinan yang dianjurkan oleh Islam. Yang kaya bersimpati dengan yang miskin. Yang miskin menyayangi yang kaya kerana kemurahan hatinya, maka terjalinlah suatu ikatan ukhuwwah Islamiah yang amat diperlukan oleh insan kini. Konsep dan falsafah zakat di samping dapat mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Islam, ia juga dapat mendekatkan jurang perbezaan antara yang kaya dan yang miskin. Sistem ini jauh lebih baik dari sistem kapitalis dan sosialis.  

             v.            Jihad dan Penyatuan UmatRukun berpuasa memaparkan persoalan jihad dalam erti kata yang sebenar. Jihad melawan nafsu dan jihad melawan mungkar. Umat Islam awalan dahulu menjadi umat dan dapat memimpin manusia ke jalan Allah, kerana mereka menghayati jihad. Dengan jihad musuh akan gerun dan mudah menyerah kepada kekuatan umat. Apabila jihad sudah ditinggalkan, maka umat Islam pula yang takut kepada musuh dan menurut segala yang diarahkan oleh mereka. 

Dengan berjihad melawan nafsu, perkara-perkara maksiat dapat dijauhi dan perkara-perkara makruf dapat dihayati. Dengan itu jihad melawan musuh dapat digarap dan dilaksanakan dengan sebaiknya. 

Apabila umat Islam sudah menjadi baik, jihad dapat ditingkatkan, maka musuh dapat dikurangkan. Dengannya umat Islam dapat dihindarkan dari perpecahan. Penyatuan pun dapat dihasilkan. Konsep haji antara lainnya adalah konsep penyatuan umat. Konsep ketaatan dan kepatuhan kepada Allah secara mutlak. Semua manusia adalah hamba yang perlu patuh kepada-Nya sahaja.  

 

3.       Islam yang syumul 

Falsafah yang terkandung dalam rukun Islam mengajak manusia menghayati Islam yang syumul sepenuhnya. Islam yang mengajak manusia ke jalan selamat sejahtera dunia hingga akhirat.
Dalam syahadah, menggambarkan konsep kerja hati, mengimani Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. mengingatkan manusia dalam sabdanya yang bermaksud:-
‘Ingatlah bahawa dalam diri manusia ada suatu seketul daging. Kalau baiklah ketulan itu, maka baiklah semua jasadnya. Kalau rosak ketulan itu, maka rosaklah semuanya. Ketulan tersebut ialah Qalbu.’ 

Konsep syahadah adalah konsep memperbetul dan memperbaikkan Qalbu itu supaya menjadi sejahtera. Kesejahteraan Qalbu adalah dengan beriman kepada Allah s.w.t. 

Solat mengandungi peringatan, bahawa tidak ada suatu gerak yang dilakukan oleh manusia di dalamnya melainkan dengan menyebut Allahu Akhbar. Dari permulaan solat manusia menyebut Allahu Akhbar hingga kepada akhir solat insan menyebut Allah, seperti yang di dalam salam penghabisan. 

Konsep zakat dan falsafahnya telah dinyatakan oleh Al-Quran yang bermaksud: “Ambillah dari harta-harta mereka (yang kaya) sebagai sedekah (zakat) untuk menyuci dan membersihkan mereka dengannya.”
Konsep zakat adalah konsep penyucian lahir batin manusia. Harta lahir perlu dicucikan. Batin manusia pula perlu dibersihkan.
 

Konsep puasa dan falsafahnya merupakan penerusan dari konsep zakat yang antara lainnya difokuskan kepada penyucian batin manusia dari sifat-sifat yang keji. 

Hajj pada umumnya adalah menggambarkan perjalanan manusia dalam hidup ini yang mesti menuju kepada Allah s.w.t. Dari Allah manusia datang kepada Allah ia pasti kembali.  

Apa yang berlaku dan dilakukan oleh pekerja haji ada imbasan dan kesamaan dengan apa yang berlaku dan dilakukan ke atas seorang Islam yang meninggal dunia. Kerana itu konsep haji adalah konsep peringatan dan ingatan kepada manusia tentang distinasi yang sedang ditujunya seperti yang dijelaskan dalam permulaan tulisan ini. 

Dari semua yang tersebut itu lahirlah Islam yang syumul dalam diri manusia. 

RUKUN IMANDalam menjelaskan definisi akidah ada disebut perkataan kepercayaan atau keimanan. Ini disebabkan Iman merupakan unsur utama kepada akidah. Iman ialah perkataan Arab yang bererti percaya yang merangkumi ikrar (pengakuan) dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mempraktikkan dengan perbuatan. Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud:  

“Iman itu ialah mengaku dengan lidah, membenarkan di dalam hati dan beramal dengan anggota”. (al-Hadis) Walaupun iman itu merupakan peranan hati yang tidak diketahui oleh orang lain selain dari dirinya sendiri dan Allah swt, namun dapat diketahui oleh orang melalui bukti-bukti amalan.  

Iman tidak pernah berkompromi atau bersekongkol dengan kejahatan dan maksiat. Sebaliknya iman yang mantap di dada merupakan pendorong ke arah kerja-kerja yang sesuai dan secocok dengan kehendak dan tuntutan iman itu sendiri.  

Firman Allah swt yang bermaksud:  “Sesungguhnya orang-orang mukmin yang beriman kepada Allah swt dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu”.  (al-Hujuraat 49:15) 

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah swt maka terasa gerunlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat Allah swt, bertambahlah iman mereka dan kepada tuhan sahaja mereka bertawakkal. Mereka mendirikan solat, membelanjakan daripada apa yang kami beri rezki kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya”. (al-Anfal 8:2-4) Perkara yang menjadi asas atau pokok keimanan dalam Islam juga dikenali sebagai rukun-rukun Iman iaitu sebanyak enam perkara:  

  • Pertama: Beriman kepada Allah swt.
  • Kedua: Beriman kepada Malaikat.
  • Ketiga: Beriman kepada kitab-kitab.
  • Keempat: Beriman kepada Rasul-Rasul.
  • Kelima: Beriman kepada Hari Kiamat.
  • Keenam: Beriman kepada Qada” dan Qadar.

Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah swt, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan Rasul-RasulNya.” (al-Baqarah 2:285) Juga sabda Nabi saw yang bermaksud:  “Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah swt, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat, Qadar baik dan buruk”. (Riwayat Muslim) 

KERAGUAN TERHADAP IMAN & RUKUN IMANKeraguan tentang iman dan rukun Islam boleh berlaku melalui empat bentuk sepertimana yang diperjelaskan oleh ulama’ iaitu; 

1.            Jahil; iaitu seseorang yang tidak tahu tentang satu atau banyak perkara mengenai persoalan iman maka ia diistilahkan sebagai seorang yang jahil.2.            Syak; iaitu antara keyakinan dan keraguan yang boleh juga diukur melalui peratusan iaitu antara 50% yakin dan 50% keraguan.3.            Zan; iaitu yang diistilahkan sebagai kuat anggapan juga boleh dinisbahkan kepada 75% keyakinan dan 25% keraguan.4.            Waham; iaitu yang boleh dinisbahkan kepada 25% keyakinan dan 75% keraguan.

Daripada pembahagian kadar keraguan dan keyakinan seperti yang diperjelaskan di atas, bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa apabila persolan iman seseorang itu diselami oleh perasaan jahil, syak, zan atau waham bermakna ia belum lagi boleh dikategorikan sebagai seorang yang beriman. Sebaliknya, seseorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah disertai dengan cahaya keyakinan yang seratus peratus tanpa dicelahi oleh oleh mana-mana satu daripada keempat-empat bentuk keraguan diatas barulah ianya boleh dikatakan seorang yang beriman. Oleh itu, seseorang itu akan tidak akan merasakan kelazatan iman tanpa diresapi oleh sifat-sifat yang tertentu di dalam dirinya iaitu; 

          Tidak ada sesuatu yang yang lebih dicintainya daripada Allah dan juga Rasul-Nya.          Menyintai sesuatu hanya kerana Allah.          Takut berbalik daripada keimanan kepada kekufuran sepertimana ia takut dimasukkan ke dalam api neraka. 

Nikmat keimanan yang dirasai oleh orang yang merasai kelazatan iman akan terpancar melalui amalannya. Maka seseorang yang telah pun merasai kelazatan iman tersebut tidak akan takut untuk menuturkan atau melafazkan perkara yang benar dan juga tidak akan sama sekali berdusta walaupun ketika ia menghadapi saat-saat kesulitan. Selain daripada itu, ia juga menyakini tentang segala ketentuan itu adalah dari Allah yang tidak dapat dihindarkan oleh kita yang bersifat makhluk-Nya. 

PERINGKAT-PERINGKAT IMAN 

Iman itu boleh bertambah dan berkurang. Malah iman seseorang boleh dihinggapi penyakit. Ada Iman sentiasa bertambah iaitu Iman para Nabi dan Rasul. Ada Iman yang tidak bertambah atau berkurang iaitu Iman para Malaikat. Ada Iman yang kadang-kadang bertambah dan ada ketikanya menurun iaitu Iman kebanyakan orang mukmin. Terdapat juga jenis Iman yang jarang-jarang bertambah tetapi banyak menurun iaitu Iman orang-orang yang fasik lagi jahat.  

Iman terbahagi kepada
lima peringkat:

  • Iman Taqlid iaitu Iman ikutan. Orang yang beriman secara taqlid beramal semata-mata mengikut orang lain. Iman jenis ini merbahaya dan terdedah kepada kesesatan.
  • Iman Ilmu iaitu Iman yang berdasarkan semata-mata kepada ilmu dan fikiran semata-mata dan ia tidak terpahat di dalam hati. Iman pada tahap ini juga terdedah kepada bahaya dan penyelewengan.
  • Iman A’yan iaitu Iman yang dapat dihayati sehingga ke lubuk hati. Iman pada tahap ini dimiliki oleh orang-orang soleh. Seseorang yang beriman pada tahap ini amalannya bertolak dari hati yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah swt. Iman kita juga sekurang-kurangnya berada pada tahap ini.
  • Iman Hak iaitu Iman yang hakiki yang terlepas dari godaan nafsu dan syaitan. Iman pada tahap ini dimiliki oleh golongan muqarrabin.
  • Iman Hakikat iaitu Iman peringkat yang paling tinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Mereka yang memiliki Iman pada tahap ini hidup semata-mata untuk Allah swt.

HUBUNGAN IMAN DAN ISLAM  

Iman dengan makna tasdiq juga dinamakan akidah di mana rahsianya tidak diketahui sesiapa melainkan orang berkenaan dan Allah swt. Namun demikian manusia mempunyai sifat-sifat lahiriah yang dapat dilihat melalui tingkah laku manusia sama ada melalui percakapan atau perbuatan. Inilah yang menjadi ukuran keimanan seseorang. Adapun segala yang tersirat di dalam hatinya terserah kepada Allah swt. Iman yang melahirkan penyerahan diri kepada Allah itu juga disebut sebagai Islam. Ini bermaksud seseorang yang beriman hendaklah menyerah diri kepada Allah swt dengan menerima segala hukum dan syariat yang diturunkan Ilahi. Penyerahan dan penerimaan ini berlaku dengan dua perkara iaitu:- (i)      Dengan kepercayaan dan pegangan hati yang dinamakan Iman (akidah) (ii)    Melalui sifat-sifat lahiriah iaitu melalui perkataan dan perbuatan (amalan) dinamakan Islam. Nabi Muhammad saw telah juga menunjukkan penggunaan kalimah Iman dalam pengertian amal sebagaimana sabdanya yang bermaksud : “Iman terbahagi lebih enam puluh bahagian, yang paling tinggi ialah mengucap kalimah “Lailahaillallah” dan yang paling rendah ialah membuang benda-benda yang boleh menyakitkan orang di jalan”.  (Riwayat Muslim) Oleh yang demikian jelas di sini Iman dan Islam mempunyai hubungan yang rapat dan tidak mungkin dipisahkan. Islam umpama pohon, sementara Iman umpama akar pepohon kayu. Kesuburan dan kekuatan akar pokok tersebut dapat dilihat dengan kesuburan pokok pada daun, ranting dan dahannya. 

Dalam menjelaskan tentang hubungan Iman dan Islam ini kita petik sebuah hadis sabda Nabi saw kepada rombongan Abdul Qias yang bermaksud: “Aku menyuruh kamu beriman kepada Allah swt yang Maha Esa. Apakah kamu mengerti apa dia yang dikatakan beriman kepada Allah swt yang Maha Esa “. Iaitu penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah swt yang Maha Esa, tiada sekutu baginya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menunaikan satu perlima daripada harta rampasan perang”.  (Muttafaqun ‘alaih) 

Hadis di atas menjelaskan betapa adanya hubungan yang erat di antara iman dan Islam di mana Islam itu menjadi salah satu daripada perinsip Iman dan Iman pula dilahirkan melalui Islam secara amali, dengan iqrar syahadah dan melaksanakan hukum syariat dalam segala amalan. Sekiranya berlaku iqrar syahadah dan menunaikan fardhu sedangkan hatinya tidak yakin atau tidak percaya serta ragu-ragu terhadap hukum hakam Allah swt maka seseorang itu dihukum tidak beriman walaupun masih dinamakan Islam sebagaimana yang berlaku kepada sesetengah orang-orang Badwi di zaman Rasulullah saw. 

Firman Allah swt yang bermaksud:“Orang Arab berkata: ‘Kami telah beriman.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kamu belum beriman’ (janganlah berkata demikian, sementara Iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu) berkatalah sahaja: ‘Kami telah Islam’”. (al-Hujuraat 49:14) 

Kesimpulannya Iman itu melambangkan sesuatu yang batin sementara Islam melambangkan sesuatu yang zahir. Oleh itu iman dan Islam tidak boleh dipisahkan. Islam umpama pokok sementara Iman umpama akar. Ibadat solat merupakan batang kepada pokok itu sementara beriman kepada Allah swt merupakan akar tunjangnya di mana ia menjadi teras keimanan seseorang. Pemisahan Iman dan Islam samalah kita memisahkan pokok dari akarnya. 

SYARAT IMAN & ISLAM (TUNTUTAN IMAN TERHADAP PERLAKSANAAN RUKUN ISLAM)Melalui pendedahan tentang ciri-ciri keimanan yang telah disebutkan dapatlah kita mengetahui tahap mana keimanan yang kita dokongi, adakah ianya seteguh gunung yang tersergam megah atau hanya seteguh istana pasir yang dibina akan musnah dan hancur apabila dipukul ombak. Maka dengan ini, Islam telah menggariskan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu di kategorikan sebagai beriman dan jika tidak memenuhi syarat tersebut maka jadilah ia seperti yang di istilahkan iaitu: 

1-   Seseorang yang mengucapkan lailahaillallah dan yakin dengannya, tetapi tidak beramal atau amalannya tidak sempurna sebagaimana yang dikehendaki, maka golongan ini dinamakan sebagai mukmin yang fasik atau ‘asi (derhaka).2-   Seseorang yang yakin tetapi tidak mahu mengikrarkan kalimah lailahaillallah sama ada dengan beramal ataupun tidak, dikategorikan sebagai seorang yang kafir sepertimana yang berlaku terhadap Abu Jahal dan Abu Lahab. 

3-   Seseorang yang mengucapkan lailahaillallah kemudian beramal dengan tuntutannya tetapi keyakinan dicelahi oleh keraguan adalah di istilahkan sebagai seorang yang munafik sepertimana keimanan Abdullah bin Ubay. 

Lanjutan dari ayat 14 dalam surah al-Hujuraat, ditegaskan pula tentang orang yang beriman yang diperincikan lagi melalui ayat dalam surah yang sama ayat 15:

“Sesungguhnya orang yang sebenarnya beriman, hanyalah orang-orang yang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar”. (Al-Hujuraat 49:15) 

Rentetan ayat di atas, keraguan seseorang dalam mengucapkan kalimah syahadah samada maksud kalimah tersebut atau tentang lain-lain rukun iman, haruslah dipelajari maksud dan tuntutannya. Maka dengan sebab itu, ucapan lailahaillallah mestilah dipelajari maksud dan tuntutannya kemudian difahami, diyakini (tanpa ragu-ragu) dan dihayati untuk diamalkan. 

KONSEP IHSAN DAN HUBUNGANNYA DENGAN IMAN DAN ISLAMIhsan bermaksud bekerja dengan baik dan tekun. Dari segi syara’ bermaksud mengelokkan perbuatan zahir dengan ibadat dan mengelokkan perbuatan batin dengan ikhlas. Menurut kamus bahasa, Ihsan bermaksud membuat sesuatu yang baik. Al-quran menerangkan dengan meluas ciri-ciri Ihsan dan mereka yang bersifat muhsinin (berbuat kebaikan). 

Antaranya firman Allah swt yang bermaksud :“Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedah kebaikan yang kamu lakukan ialah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”  (al-Isra’ 17:7) 

Kedudukan Ihsan adalah tinggi di sisi Islam dalam konteks melengkapkan ciri-ciri keimanan dan keislaman individu dan masyarakat Islam seluruhnya. Al-Quran menerangkan bahawa Ihsan wajib menjadi tabiat manusia. Allah swt telah memberi ni’mat kepada manusia dengan Ihsan-Nya, maka manusia perlu Ihsan dengan ni’mat ini kepada makhluk. Firman allah swt yang bermaksud:“Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah swt) sebagaimana Allah swt berbuat baik kepadamu (dengan pemberian ni’matNya yang melimpah-limpah.”  (al-Qasas :77) 

Seseorang yang melakukan Ihsan akan merasa tenang yang tidak dapat dirasakan oleh orang lain dan orang yang menerima Ihsan itu sendiri merasa senang. Kasih sayang kepada pelaku Ihsan akan memberi kebahagiaan jiwa. Mereka yang membuat keburukan tidak akan mendapat ketenangan hidup. Oleh itu Allah swt telah memberi galakan supaya berbuat Ihsan sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah swt menyuruh kamu berlaku adil, dan berbuat ihsan (kebaikan), serta memberi bantuan kepada kaum karabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar serta zalim.” (al-Nahl :90)  

Al-Quran mengangkat martabat Ihsan dengan begitu tinggi lebih-lebih lagi jika turut disertakan dengan ikhlas kepada Allah swt dan kedua-dua ini dianggap sebagai sifat yang paling tinggi dan mulia yang patut ada pada diri setiap muslim. Kesimpulannya kalau Iman itu umpama akar, Islam umpama pokok maka Ihsan pula umpama buah yang baik. Demikianlah hubungan di antara Iman, Islam dan Ihsan. 

KESAN AQIDAH ISLAM

Akidah Islam akan melahirkan seseorang atau masyarakat yang mempunyai kepribadian yang unggul yang akhirnya akan dijelmakan melalui tingkah-laku, percakapan dan gerak-geri hati seseorang atau sesebuah masyarakat. Akidah Islam yang telah meresap ke dalam jiwa dan lubuk hati sesseorang akan menimbulkan kesan-kesan positif di antaranya dapat kita gariskan seperti berikut:  

*        Akidah Islam melahirkan seorang yang yakin kepada Allah swt yang maha esa. Lantaran itu menggerakkan seluruh tingkah-lakunya, percakapannya dan gerak-gerinya untuk mencari keredhaan Allah swt.  

*        Akidah Islam melahirkan Insan Soleh. Insan yang melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala jenayah dan kemungkaran.*        Akidah Islam melahirkan Insan yang mempunyai akhlak cemerlang dan terpuji. Mengikis sifat-sifat yang buruk dan melahirkan manusia yang bertaqwa, tawadhu’, ikhlas, redha, amanah dengan segala sifat terpuji yang lain di samping menyingkirkan sifat-sifat yang buruk seperti dengki, sombong, ria’, takabur dan seumpamanya yang boleh membawa masalah sosial dalam masyarakat.*        Akidah akan melahirkan seseorang atau sesebuah masyarakat yang optimis dan yakin kepada diri sendiri untuk bekerja bagi mencapai kejayaan di dunia di samping tidak lupa mencari keredhaan Allah swt supaya mendapat kebahagian di akhirat.*        Akidah Islam melahirkan Insan dan masyarakat yang teguh pendiriannya, mempunyai perinsip dan tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran yang mengancam nilai dan akhlak manusia terutama dengan pelbagai pengarauh hasil kemajuan teknologi maklumat di zaman ini. Ia mampu membeza dan memilih nilai-nilai yang positif dan menolak nilai-nilai yang negatif yang boleh merosakkan keperibadian Insan dan masyarakat.*        Akidah Islam yang teguh mampu membawa manusia dan masyarakat maju ke hadapan dalam segala bidang. Sejarah membuktikan masyarakat Arab telah berubah daripada satu masyarakat yang tidak dikenali kepada sebuah masyarakat yang digeruni. Akidah Islam telah mengangkat darjah mereka. Mereka menguasai hampir separuh dari bumi ini. Mereka menguasai pentadbiran dan maju dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan.*        Akidah Islam membentuk manusia berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan dan mencegah dari kemungkaran. Ini akan melahirkan masyarakat yang harmoni dan aman tenteram. Tiada jenayah atau pencerobohan ke atas sesiapa disebabkan mereka yakin kepada hari pembalasan.*        Akidah Islam akan melahirkan manusia yang tidak mudah putus asa atau hilang harapan. Iman di dalam hati akan memberi ketenangan yang luar biasa.*        Akidah Islam akhirnya melahirkan manusia yang sanggup berjihad ke jalan Allah swt walaupun harta dan nyawa menjadi taruhan. Bilal bin Rabah sanggup mati kerana mempertahankan akidahnya. Kelaurga Amar bin Yasir demikian juga. Demikianlah para sahabat sanggup mengorbankan harta dan nyawa untuk mempertahan dan menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Ini adalah kesan dari Akidah Islam yang meressap di dalam jiwa dan lubuk hati mereka.*        Akidah Islam yang ada dalam hati umat Islam kini mungkin tidak begitu mantap menyebabkan mereka tidak dapat mencapai kegemilangan sebagaimana umat Islam di zaman Nabi saw dan para Sahabat. Umat Islam pada hari ini begitu rapuh akidahnya. Lantaran itu mereka amat mudah terpengaruh dengan berbagai-bagai unsur negatif. Kemunduran umat Islam kini kerana mereka semakin jauh dari menghayati Akidah Islam yang sebenar. 

 

Rujukan: 

1. Konsep Dan Falsafah Rukun Islam [Dr. Harun Din, Fakulti Pengajian Islam UKM Bangi Selangor]

      http://www.angelfire.com/in/elcom98/rukun.htm

2. Modul Usrah

Comments»

1. FORSTAS - August 6, 2007

Assalamu’alaykum,

Salam kenal saudara di Malay.

kami kebetulan di web kami juga membahas rukun Islam dari dimentsi yang berbeda dari yang Anda bahas. Kami membahas secara teknis berdasarkan syariahnya.

http://www.naqsya.wordpress.com

🙂
Salam,


Leave a comment